Siqma Mahu Bawa Identiti Sendiri

MENGAKUI sedikit lambat menceburi industri muzik arus perdana sebagaimana rakan-rakan seangkatan, rapper yang sedang mencipta nama, Siqma, yakin peluangnya untuk berkongsi karya kepada umum sentiasa terbuka.

Menurut Siqma atau nama sebenarnya Rahmat Zulhilmi Abdul Razak, 28, minatnya dalam muzik adalah tulin dan tidak bermotifkan selainnya.

Mengangkat rapper tersohor Malique Ibrahim sebagai idolanya, Siqma mahu fokus kepada penghasilan karya berkualiti sebagaimana dilakukan mentornya itu, sehingga sentiasa dikenang peminat.

“Saya sebenarnya masuk industri agak lambat. Hanya dua tahun kebelakangan ini baru saya aktif dalam muzik arus perdana.

“Apapun, saya bersyukur biarpun masih baharu, single-single yang dihasilkan diterima baik oleh peminat muzik tanahair.

“Bukan mudah untuk berada di depan pada waktu ini, banyak cabarannya. Bagaimanapun itulah yang jadi pemangkin semangat untuk saya terus berusaha menghasilkan sesuatu karya yang ada identiti dan diingati,” ujarnya.

Biarpun namanya sering dikaitkan dengan Malique, malah ada yang yang menggelarkan sebagai The New Malique, Siqma yang pernah tampil dengan lagu Cemas, Salam 1001, Raja Simurgh dan Dipinggirkan itu tidak menjadikan ia sebagai tiket untuk berasa selesa.

“Kalau ikutkan memang rasa berat sangat bila dikaitkan dengan seorang lejen yang juga merupakan idola saya sejak sekian lama.

“Bagaimanapun, saya melihat ia secara positif dan sentiasa meminjam inspirasi daripada kejayaan Malique dalam bidang muzik.

“Banyak benda saya belajar daripadanya dan akui bertuah dapat bekerjasama dengannya menghasilkan lagu. Rezeki saya ditemukan dengan dia,” kata Siqma.

Berkongsi sambutan Aidilfitrinya baru-baru ini, kata Siqma yang baru sahaja tampil dengan lagu raya berjudul Rap Der Raya bersama artis rap Universal Music, dia hanya beraya di Kuala Lumpur bersama bapa dan adik lelakinya.

“Sejak arwah ibu meninggal, raya keluarga saya biasa-biasa sahaja. Kalau bukan kerana Covid pun, feel raya kami dah tak sama macam dulu.

“Apatah lagi saya kini sudah tidak lagi berniaga di pasar Up Town sepanjang Ramadan menjadi semangat raya itu tidak terasa.

“Saya juga selalunya akan bakar lemang untuk diberikan pada kawan-kawan menjelang raya. Tapi semua itu terhenti disebabkan keadaan semasa kita hari ini,” ujar anak kelima daripada enam beradik itu.

Ditanya apakah dia berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang perniagaan, sementelah ramai rakan-rakan artis berbuat demikian untuk menambah pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Siqma mempunyai ketetapannya sendiri.

“Kalau ikutkan saya memang suka dan seronok berniaga biarpun hanya secara kecil-kecilan.

“Bagaimanapun disebabkan Covid-19, saya berhenti berniaga kerana tapak di Up Town itu terikat dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) sejak PKP.

“Kalau saya teruskan, mungkin hasilnya tidak berbaloi sebagaimana sebelum ini. Jadi lebih baik saya berikan tumpuan kepada muzik sahaja buat masa ini,” katanya.

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat

Sumber: Sinar Plus

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*