Pasar Malam Sunyi Sepi

PENIAGA pasar malam di Selangor memohon kerajaan mempertimbangkan agar mereka diberikan peluang berniaga tanpa nombor penggiliran sama ada genap atau ganjil.

Namun mereka tidak pernah menolak dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan dalam usaha mengek4ng penuIaran w4bak C0vid-19 secara berterusan.

Tinjauan di pasar malam Seksyen 18, di Shah Alam, petang semalam, mendapati suasana agak lengang dalam tempoh dua jam pertama, malah ada gerai yang tidak dikunjungi pelanggan.

Rata-rata peniaga berpandangan, salah satu cara menarik ramai pelanggan adalah membenarkan semua peniaga berniaga namun dalam keadaan mengekalkan SOP sedia ada.

Seorang peniaga ikan, Arif Omar, 28 amat bersyukur kerana diberikan peluang berniaga di pasar malam itu selepas tiga bulan.

Namun penggiliran berniaga sekali dalam tempoh dua minggu itu menyukarkan peniaga sepertinya yang berniaga barangan basah.

“Hari ini, saya saja yang berniaga ikan… pelanggan tiada pilihan dan sambutan pun kurang. Sepatutnya bagi peluang kepada semua peniaga ikan di pasar ini berniaga.

“Di pasar malam ini, tak ramai pun tiga orang saja peniaga ikan, saya yakin dengan cara ini dapat menarik pelanggan dan semua peniaga dapat rezeki.

“Boleh tengok sendiri, kami semua mematuhi SOP yang ditetapkan dari segi penjarakan sosial, pelanggan pun ikut peraturan, itu memang tiada masalah kerana kami akan patuh seperti biasa, cuma harap dipertimbangkan agar semua berpeluang berniaga setiap minggu seperti biasa,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang peniaga ayam, Zailan Jamali, 45, juga risau jika jualan yang dibawa tidak dapat dihabiskan memandangkan sambutan pelanggan yang kurang.

“Dalam tempoh sejam, hanya tiga ekor ayam terjual sedangkan banyak ayam saya bawa untuk diniagakan, ini pertama kali niaga selepas tiga bulan. Jadi saya tidak dapat jangka sama ada jualan habis atau sebaliknya.

“Disebabkan penggiliran ini, hari ini tiada peniaga sayur dan juga runcit, macam mana pelanggan hendak datang sebab tak semua nak beli ayam, sebab itu kami harap semua dapat kembali berniaga.

“Lagipun dalam tempoh tiga bulan ini, saya yakin semua pihak sama ada peniaga atau pelanggan sudah faham SOP dan berdisiplin, tiada masalah mengenai jika peniaga ramai berniaga sekalipun,” katanya.

Pandangan sana turut dikongsi oleh peniaga makanan, Sodah Din, 59, yang sudah 30 tahun berniaga laksa, bihun sup serta rojak buah.

“Saya sendiri takut nak menyediakan makanan yang banyak bila lihat keadaan hari ini, pelanggan pun tidak ramai, mungkin mereka takut atau tidak tahu pasar malam sudah beroperasi.

“Tapi kalau boleh tidak perlu ikut giliran genap atau ganjil seperti sekarang, harap sangat kami dapat berniaga setiap minggu.

“Sepanjang tiga bulan, saya langsung tidak berniaga, tiada pendapatan, ini baru mula niaga,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Selangor memutuskan pembukaan semula perniagaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria secara berperingkat di lokasi terpilih bermula 15 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, berkata keputusan itu dibuat selaras pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lalu berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kerajaan negeri menetapkan waktu operasi dalam tempoh PKPP ini bagi pasar pagi, terbuka, tani bermula 6 pagi hingga 11 pagi, manakala pasar malam bermula 4 petang hingga 10 malam dan bazaria bermula 5 petang hingga 12 malam.

“Kerajaan negeri bersetuju kaedah pengurusan dan kawalan bagi pembukaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat

Sumber: HMetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*