“Seolah-olah Berada Dalam Dimensi Berbeza” -Sempena Jumaat Yang Penuh Barakah, Al-Quran Rahsia Azizulhasni Kekal Tenang Setiap Kali Menjelang Perlumbaan

BERTANDING di pentas berprestij seperti temasya Sukan Olimpik dan menggalas harapan pingat negara bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Bukan saja kekuatan fizikal menjadi kayu pengukur, kekuatan mental juga memainkan peranan penting, bahkan boleh menjadi penentu kejayaan bagi seseorang atlet.

Pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang turut berkongsi rahsia yang membuatkan dirinya kekal tenang dalam setiap perlumbaan, sekali gus berjaya membantunya meraih pingat perak dalam acara keirin di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi-situasi yang ekstrem ini? Jawapan saya adalah al-Quran. Ketika kem latihan di Nilai, saya dah mulakan misi membaca al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan.

“Tapi maklumlah, latihan sangatlah teruk waktu tu ditambah dengan kesibukan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan,” tulis Azizulhasni dalam satu hantaran Facebook sebentar tadi.

Menurut Azizulhasni, beliau mula mempunyai masa untuk memberi tumpuan terhadap bacaan al-Quran selepas tamat kem latihan dalam negara dan sebaik tiba di bumi Tokyo.

“Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan itu, saya memang mengejar bacaan. Bila kita baca al-Quran ni tak mudah, banyak dugaan-dugaan dia. Ada saja bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita. Sebab tu bila kita baca al-Quran di bulan Ramadan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan,” jelasnya lagi.

Azizulhasni berkata, beliau dapat melupakan segala penat, tekanan dan masalah-masalah duniawi, sambil menyifatkan dirinya seperti berada di dunia ‘vakum’ apabila membaca al-Quran.

“Setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza.

“Sumpah tak tipu, memang dengan bacaan al-Quran ni membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora. Syukur kepada ALLAH SWT saya dapat khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum saya memulakan perlumbaan acara keirin,” tulisnya..

Tambahnya, beliau tidak lupa untuk bernazar dan berserah kepada ALLAH SWT sejurus selepas berjaya mengkhatam al-Quran.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut sempat meninggalkan komen beliau di bawah hantaran tersebut.

Komen Reezal Merican, berserah dan bertawakal kepada Tuhan merupakan usaha terakhir selepas melakukan segala persiapan, justeru beliau berharap perkongsian Azizulhasni dapat memberi inspirasi kepada semua orang.

“Bukan sekadar kuat segi mental dan fizikal sahaja penting, malah kekuatan rohani juga perlu dititik beratkan,” tulis beliau.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat

Sumber: mStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*