Izzue Ajar Elisya Lakon Adegan Romantis Tanpa Sentuh

KUALA LUMPUR: Pelakon, Elisya Sandha berkongsi pengalaman menarik ketika membintangi drama Nasi Kerabu Untuk Cik Abe yang sedang rancak disiarkan di kaca TV3, ketika ini.

Elisya atau nama sebenarnya, Nur Elisya Hassan berkata, drama berkenaan memberinya peluang menikmati makanan ruji penduduk negeri Kelantan seperti budu.

“Sebelum ini, saya tak pernah langsung makan budu. Nak cuba pun teragak-agak sebab aroma sangat kuat.

“Namun, saya cuba juga selepas lebih dua minggu berada di Kelantan ketika menjalani penggambaran drama ini. Apabila dimakan bersama ulaman, rasanya memang sedap. Rugi jika tidak cuba,” katanya kepada BH Online.

Memandangkan drama arahan Heykal Hanifah ini mengambil latar dan budaya masyarakat di Kelantan, adik kepada pelakon Fasha Sandha itu perlu membiasakan diri dengan situasi sekeliling.

“Jika ikutkan skrip yang diberi, dialognya dalam bahasa Melayu tetapi memandangkan drama ini berkisar masyarakat Kelantan, dialog kena ada bahasa mereka.

“Mujurlah gandingan saya dalam drama, Izzue Islam banyak membantu. Daripada tak faham langsung, sekarang ini bolehlah faham sikit-sikit jika ada yang bertutur dengan saya,” cerita pelakon berusia 20 tahun ini.

Ditanya cabaran melakonkan watak sebagai Shira, isteri kepada Faizul lakonan Izzue, Elisya memberitahu antara cabaran melakonkan babak romantis tanpa perlu bersentuhan.

“Semua orang tahu Izzue meletakkan syarat tidak bersentuhan dengan pelakon wanita. Apabila diberitahu ada babak romantis bersama Izzue, saya sedikit bingung sebab tak tahu nak buat macam mana.

“Bagaimanapun, Izzue berpengalaman, dialah yang banyak mengajar saya bagaimana mahu mencipta momen romantis tanpa perlu bersentuhan seperti menggunakan bahasa tubuh dan ayat manis,” kata Elisya yang akan kembali ke lokasi penggambaran selepas tiga bulan berehat berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara pelakon lain yang turut membintangi drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe ialah Issey Fazlisham, Radhi Khalid, Jasmin Hamid, Erynne Erynna, Neera Azizi, Kuza dan Danny X-Factor.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat

Sumber: Berita Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*