Johor Benarkan Solat Jumaat, Fardu Lima Waktu Di Masjid

KERAJAAN Johor membenarkan masjid dan surau Jumaat mengadakan solat Jumaat terhad kepada 40 jemaah berkuat kuasa Jumaat ini.

Selain itu, semua masjid dan surau di Johor juga dibenarkan mengadakan solat fardu lima waktu berjemaah terhad kepada 40 jemaah pada hari sama.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran solat Jumaat dan solat berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu sudah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“Mulai 12 Jun ini, sebanyak 836 masjid dan 92 surau Jumaat di Johor dibenarkan mengadakan solat Jumaat namun terhad kepada hanya 40 jemaah tidak termasuk pegawai masjid dan surau Jumaat.

“Bagi solat fardu lima waktu pula, sebanyak 836 masjid serta 1,951 surau kariah di negeri ini dibenarkan mengadakan solat secara berjemaah juga terhad kepada 40 jemaah.

“Ahli kariah perlu mengisi borang pendaftaran bagi dinilai ahli jawatankuasa masjid dan surau, sebelum mereka disenaraikan dan dihubungi bagi memaklumkan kebenaran datang menunaikan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu.

“Bagaimanapun, untuk solat Jumaat kebenaran akan diberikan secara bergilir-gilir setiap minggu bagi membolehkan semua ahli kariah diberikan peluang berjemaah di masjid manakala untuk solat fardu lima waktu, biasanya bilangan yang hadir tidak lebih 40 jemaah dan tiada masalah, ” katanya pada sidang media di Pusat Islam Negeri Johor, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin.

Tosrin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM )akan membuat pemantauan di semua masjid dan surau Jumaat di termasuk melakukan pemantauan bagi memastikan prosedur standard operasi (SOP) dipatuhi selain tiada kekecohan berlaku.

“Jika kariah yang hadir berlebihan daripada 40 jemaah, mereka yang tidak mendaftar akan diminta pulang dan kembali pada minggu seterusnya.

“Kewajipan solat Jumaat guguvr ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari berkenaan dan wajib digantikan dengan solat fardu Zuhur,” katanya.

Tosrin berkata, jemaah yang dibenarkan melakukan solat Jumaat dinasihatkan membawa sejadah masing-masing selain mengambil wuduk di rumah.

“Ahli kariah yang diberi kebenaran juga mestilah berusia 15 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan aktiviti lain seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya di seluruh masjid dan surau hendaklah ditangguhkan.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*