Bayaran Rayuan BPR Disalurkan Mulai Esok

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bayaran bagi rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan mula disalurkan kepada penerima yang layak bermula esok.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung September lalu bersama dengan penerima bayaran BPR Fasa 3.

Beliau berkata, pembayaran rayuan BPR itu akan melibatkan hampir 200,000 penerima BPR dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

Menurutnya, kerajaan telah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan BPR yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.

“Permohonan rayuan ini telah dinilai semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan inisiatif bantuan tunai ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak.

“Semakan status kelulusan rayuan BPR boleh dibuat mulai esok di Portal BPR di https://bpr.hasil.gov.my ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap bantuan tunai yang secara keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini boleh membantu Keluarga Malaysia menampung dan menguruskan perbelanjaan penting mereka.

Menurutnya, selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR itu, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan yang lulus rayuan BPR menyertai Program Jaringan Prihatin.

“Tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program ini akan dilanjutkan sehingga 30 September nanti. Pelanjutan ini juga bertepatan dengan situasi semasa selain memberi ruang serta masa kepada mereka yang perlu mendaftar dan menebus telefon mereka di kedai secara fizikal,” katanya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat

Sumber: K!ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*