Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Siapa sangka, anak yang berjuang menjadi tonggak dalam membantu keluarga akhirnya ‘gugur’ ketika keluar bekerja bagi mencari rezeki.
Kemalangan maut yang melibatkan Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin Bin Mat Nazir pada 11 Ogos 2021 benar-benar menyentuh hati insan terdekat susulan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah lori.
KemaIangan ketika lakukan kerja sambilan
Ketika itu, Muhammad Nazirul yang juga seorang operator pengeluaran di sebuah kilang secara sepenuh masa telah melakukan kerja sambilannya sebagai seorang penghantar makanan GrabFood. Namun, ketika berada di KM3 Lebuhraya LKSA, beliau telah terlibat dengan kemalangan jalan raya.
Allahyarham disahkan meninggal dunia pada hari kejadian akibat kecederaan serius di bahagian dada dan abdomennya.
Pastinya perit bagi keluarga menerima khabar duka berkaitan anak keempat daripada tujuh beradik itu kerana Muhammad Nazirul yang masih bujang merupakan anak yang berbakti kerana sanggup membantu kewangan keluarga dengan melakukan dua pekerjaan dalam satu masa.
Buat caruman PERKESO
Syukur Allah S.W.T masih lagi meneruskan niat baiknya yang ingin membantu ahli keluarga apabila Allahyarham yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang secara sepenuh masa adalah seorang pencarum PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Selain itu, Allahyarham yang bekerja secara separuh masa sebagai penghantar makanan GrabFood telah melakukan satu langkah bijak dengan mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) menerusi program SPS Lindung dengan bantuan pihak majikan pada 1 Julai 2021.
Menariknya, Allahyarham tidak perlu mengeluarkan sesen pun kerana caruman SPS Lindung ini mendapat pembiayaan sepenuhnya oleh pihak Kerajaan kepada golongan delivery riders.
Niat bantu keluarga berterusan walaupun sudah tiada
Jadi, disebabkan caruman Allahyarham menepati syarat, warisnya terutama ibu bapa dan adik-beradik dapat merasai faedah tersebut.
Bapanya, Mat Nazir Abu Hassan yang juga seorang tukang cuci bersyukur kerana dia dan isteri serta 3 orang anak yang masih bersekolah layak menerima bantuan dua faedah PERKESO iaitu Faedah Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT).
Kedua-dua faedah tersebut akan dibayar kepada ibu dan bapa Allahyarham untuk seumur hidup, manakala untuk adik-beradiknya yang lain pula sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin. Waris Allahyarham juga turut menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.
Cepat betul PERKESO buat kerja
Sememangnya tindakan pantas pihak PERKESO menghubungi dan menyampaikan faedah kepada waris Allahyarham harus dipuji.
Mana tidaknya, setelah berita kemalangan melibatkan Allahyarham tersebar di media sosial, pihak PERKESO menerusi skuad PERKESO Prihatinnya terus segera membuat semakan pada hari yang sama dan mendapati bahawa Allahyarham memenuhi kelayakan bantuan faedah PERKESO.
Tidak sampai seminggu, keluarga Allahyarham sudah dihubungi PERKESO dan bantuan faedah juga telah diberikan.
Jadikan ikhtibar, betapa pentingnya mencarum kalau dah bekerja
Melihat daripada kejadian yang tidak dijangka seperti kemalangan yang menimpa Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin, dapat dirumuskan betapa pentingnya mencarum dengan PERKESO.
Dapat kita lihat sendiri bagaimana prihatinnya PERKESO terhadap pencarum yang ditimpa musibah dan waris yang ditinggalkan apabila bantuan yang seharusnya diterima langsung tidak dilengahkan pemberiannya.
Inisiatif tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban ahli keluarga yang terpaksa menanggung rasa sedih di atas pemergian orang tersayang dan pada masa yang sama hilang sumber pendapatan.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat
Sumber: OMM
Leave a Reply