MELIHAT kepada video-video yang dikongsi pemuda ini di aplikasi TikTok, ternyata ramai yang kagum dengan kemampuan dan tenaga yang dimilikinya.
Mana tidaknya, pemuda ini begitu aktif melakukan sukan angkat berat umpama individu yang sempurna sedangkan dia mengenakan kaki palsu.
Di samping berkongsi rutin melakukan aktiviti angkat berat, salah satu video yang dimuat naik olehnya juga begitu meruntun hati netizen.
Menerusi video berdurasi 22 saat itu, pemuda tersebut berkongsi kisah suka duka sewaktu dia ‘kehilangan’ kaki kanannya 11 tahun lalu dan bagaimana dia bangkit daripada kesedihan dan menjadi dirinya seperti hari ini.
Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 40,000 jumlah tontotan selain dibanjiri dengan komen positif netizen yang memberikan kata-kata semangat buat lelaki tersebut.
View this post on Instagram
Pemuda berkenaan, Abdul Rahman Abd Kadir berkata, dia mula ‘terjebak’ dalam sukan angkat berat pada Jun tahun lalu dengan matlamat asal mahu menurunkan berat badan.
Abdul Rahman ‘terjebak’ dalam sukan angkat berat kerana berniat mahu menurunkan berat badan pada awalnya.
“Sukan angkat berat ni ‘weight training’ lebih kepada membakar lemak-lemak. Saya akan work out lima kali seminggu dan ada team yang guide saya iaitu The Iron Comrade.
“Sebelum ini saya work out di gimnasium namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya hanya work out di rumah sahaja. Alhamdulillah, berat saya berkurang dari 120 kilogram kepada 95 kilogram,”
Pemuda berusia 27 tahun ini juga berkata, dia konsisten melakukan sukan tersebut kerana terinspirasi dengan seorang ahli angkat berat warga Amerika, KC Mitchell yang juga kehilangan sebelah kaki.
“Tengok mat salih tu punya power angkat berat, saya pun terinspirasi. Sukar memang sukar lebih-lebih lagi bila angkat berat beri tekanan kepada kaki. Sakit sebab pakai kaki palsu.
“Tapi jangan layan sangat sakit tu. Kalau dilayan kita akan demotivated… kena sentiasa positif,” ujar anak bongsu daripada enam adik beradik ini.
Mengimbas kisah duka bagaimana dia kehilangan kaki kanannya, Abdul Rahman berkata dia terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika berusia 16 tahun.
“Pada mulanya tak teruk sangat, kaki hanya patah. Tapi sebulan kemudian terjadi infection hingga dua jari terpaksa dipotong. Kemudian jangkitan tu merebak. Dah macam terkena gangren.
“Saya tanggung sakit teramat sebab kaki terkena jangkitan, dan dalam masa yang sama badan lemah, asyik tak sihat. Doktor cadangkan untuk potong kaki, tapi ayah masa tu keberatan.
Ahli angkat berat dari Amerika, KC Michell bukan sahaja ‘follow’ akaun Instagram, malah turut ‘repost’ video Abdul Rahman.
“Saya beritahu ayah, saya tak tahan tanggung sakit dan dah reda kehilangan kaki. Akhirnya pembedahan potong kaki dijalankan. Barulah terasa badan dah tak sakit-sakit macam sebelum ini,” ujarnya pemuda yang berasal dari Bandar Pusat Jengka, Pahang.
Abdul Rahman berkata, dia bertuah kerana dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan yang menjadi tulang belakang untuknya kekal positif.
“Keluarga memang dah tentu sistem sokongan utama. Tapi saya terharu sungguh-sungguh apabila kawan-kawan sanggup bantu dukung saya apabila terpaksa naik kelas ataupun makmal di tingkat atas.
“Begitu juga dengan kawan rapat yang sama-sama buat bisnes dengan saya, susah senang bersama masa duduk rumah sewa dulu. Kini walaupun dah ada haluan sendiri, namun tak putus hubungan,” ujarnya.
Tidak menyangka videonya meraih perhatian, Abdul Rahman berkata dia terharu kerana mendapat maklum balas positif daripada netizen.
“Saya buat content sememangnya untuk memotivasikan orang lain juga. Dalam banyak-banyak komen, saya tersentuh apabila ada seorang individu ni beritahu video saya membuatkan adiknya yang juga OKU sama seperti saya, terinspirasi.
Ibu dan bapa yang merupakan ‘tulang belakang’ Abdul Rahman untuk kekal positif.
“Komen-komen positif sememangnya buat saya lebih semangat untuk hasilkan konten seperti ini. Lebih bersemangat apabila idola saya, KC Mitchell turut ‘repost’ video dan ‘follow’ saya di Instagram.
“Bagi mereka yang senasib seperti saya, reda dan kekal positif. Sokongan orang sekeliling memang penting tapi semuanya kena bermula dengan diri sendiri. Ia ujian namun ingatlah bahawa ada yang lebih berat masalahnya daripada kita,” ujarnya lagi.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DM
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariMaklumat
Sumber : Mstar
Leave a Reply